Logo KBBA

Khamis, 4 Ogos 2016

Kesan penceraian pada anak

assalamualaikum semua,

kelmarin petang abg long tiba-tiba menjerit bila abg ngah pegang di bahagian belakang badan dia... aku terkejut jugak... masa tu dia baru je abis mandi... dan tengah sibuk cari baju nak pakai... bila aku tanya kenapa dia terus jawab.... 

abg long : "belakang saya ni sakit ummi... pedih je rasa..."
aku : "kenapa pulak abg long?"
abg long : "tadi ismail letak minyak angin dekat belakang badan saya sampai pedih badan saya tau... cuba ummi tengok... ada kesan tak?"
aku perhatikan memang macam ada kesan melecet sikit kat belakang badan dia... aku tekan kawasan tu dan tanya... : "yang ini ke?"
abg long : "a'ah yang tu la ummi... pedih..."
aku : "macamana boleh ismail letak minyak angin pulak kat belakang awak... minyak angin siapa?"
abg long : " minyak angin orang lain (dia sebut nama tapi aku tak ingat... haha)... tapi ismail rampas lepas tu dia pegi sapu dekat semua orang.."
aku : " alahai... kenapa dengan ismail tu... ummi rasa selalu sangat abg long cerita pasal ismail ganggu awak kan? aritu pun ada kan abg long sebut?"
abg long : " a'ah ummi... entahlah ismail tu.... dia tu kan ibu bapa dia dah berpisah... agaknya sebab tu kot.."
aku tergamam dengar ok... ayat tu keluar dari mulut budak umur 9 tahun ok... zaman aku 9 tahun dulu mana la ambik port orang berpisah bercerai ke apa kan...?
aku : " mak bapak dia dah berpisah? kesiannya abg long...."
abg long : "a'ah"
aku : "biar je la nak... mungkin dia tu kurang kasih sayang agaknya...tu yang ganggu kawan-kawan je..."
abg long : " a'ah kot ek ummi"
bila ibubapa bercerai siapa yang selalu menjadi mangsa? - sumber google


lepas bercakap dengan abg long tu aku terdiam.... tak tau nak ulas apa lagi dah... tergamam pun ye... terus terfikir kesan penceraian pada anak-anak.... tak terbayang rasa apa yang anak-anak rasa bila ibubapa mereka bercerai... hanya mereka yang tau...

sumber google


aku terbaca dalam laman web IKIM selepas tu... terdapat 5 faktor yang menyebabkan penceraian menjadi negatif pada anak-anak...

Faktor pertama :

Hakikat ketiadaan ibu atau bapa. Sebagaimana yang kita tahu, persekitaran terbaik untuk perkembangan anak-anak yang optima ialah kehadiran kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes perceraian salah seorangnya ibu atau bapa telah tiada. Maka keluarga itu bukanlah lagi satu persekitaran yang terbaik untuk anak itu membesar. Akibat dari ketiadaan seorang ibu atau bapa ini, katakanlah bapa, dan ibu pula keluar bekerja, kebanyakan anak-anak dari keluarga yang bercerai mendapat kurang perhatian dan penyeliaan berbanding dengan anak-anak dari keluarga yang tidak bercerai. Ada kemungkinan, kemahiran sosial anak-anak terjejas akibat tiadanya role model bapa atau ibu di rumah itu. Didapati pula, anak-anak yang bapanya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak-anak, tidak begitu terkesan dengan perceraian ini. Dalam kata-kata lain, kalau ibubapa masih mengekalkan hubungan yang baik maka anak-anak tidak begitu terkesan dengan perceraian. Oleh itu, untuk meminimakan kesan negatif perceraian, pasangan itu hendaklah mengekalkan hubungan baik selepas perceraian.


Faktor kedua :

Penyesuaian penjaga (ibu atau bapa). Selepas bercerai, anak-anak berada di tangan ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan. Jika ibu atau bapa tadi dapat menyesuaikan diri dengan perceraian itu dengan baik, maka anak-anak juga dapat menyesuaikan diri mereka. Jika penyesuaian ini berlaku, maka perceraian tidak akan membawa kesan yang begitu negatif. Jadi, ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan perlu menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan baru agar ia akan memberi kesan positif kepada anak-anak.

Faktor ketiga :

Kedudukan ekonomi. Biasanya, selepas perceraian taraf hidup keluarga itu menurun terutamanya bila si bapa meninggalkan anak-anaknya. Anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu, mungkin perlu berpindah ke rumah yang lebih kecil atau anak-anak itu terpaksa melepaskan kemewahan-kemewahan tertentu yang mereka nikmati sebelum ini. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak tidak akan begitu terjejas akibat perceraian sekiranya tiada kejatuhan dari segi taraf hidup. Dalam kata-kata lain, jika perceraian berlaku tetapi taraf hidup anak-anak tidak berubah, yakni masih tinggal di rumah yang sama, masih menikmati kemewahan yang sama, maka mereka tidak akan begitu terkesan oleh perceraian tersebut. Oleh yang demikian, bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah perlu memastikan bahawa taraf hidup anak-anak tidak begitu berubah selepas perceraian jika mereka mahu anak-anak mereka berkembang normal seperti anak-anak yang lain.

Faktor keempat :

Konflik keluarga. Dikatakan bahawa yang menjejaskan kesejahteraan anak-anak bukanlah perubahan struktur dalam keluarga (tidak ada ibu atau bapa) tetapi yang menjejaskannya ialah perselisihan atau pergaduhan yang datang dengan perubahan struktur itu. Oleh itu, kalau nak berceraipun, bercerailah dengan cara yang baik dan kekalkan hubungan baik selepas perceraian itu berlaku. Ini kerana hubungan buruk selepas perceraian akan memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Faktor kelima :

Perubahan-perubahan hidup yang memberi tekanan. Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak tekanan yang dihadapi, lebih sukar untuk anak-anak menyesuaikan diri. Oleh itu, setelah berlaku perceraian, cuba kurangkan perubahan-perubahan dalam hidup agar anak-anak tidak begitu tertekan bila terpaksa berhadapan dengan perkara baru. Oleh itu, jangan tergesa-gesa berpindah rumah atau sekolah. Ibu atau bapa pula jangan cepat-cepat berkahwin lagi dan seumpama. Ini kerana perubahan-perubahan baru memberi tekanan kepada anak-anak dan ini menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan perceraian yang berlaku.

bila baca kelima-lima faktor ni aku rasa sedih bila fikirkan apa kesannya penceraian pada anak-anak.... amat jarang penceraian memberi kesan positif pada anak... mungkin ada tapi bilangannya amat kecil kalau dibandingkan dengan kesan negatif... aku tak bekerja secara langsung dengan anak-anak kecil ni... tapi mungkin orang yang selalu ada dengan mereka seperti guru di sekolah lebih maklum perubahan pada anak-anak ini sendiri... 

walaupun kadang-kala punca penceraian dan penceraian itu sendiri memang tak dapat dielakkan... namun sebagai ibubapa kita perlu selalu mengingatkan diri tentang tanggungjawab dan amanah yang kita galas sebagai ibubapa... amanah yang bakal ditanya satu masa nanti samaada kita laksanakan dengan baik atau pun sebaliknya... maaf aku memang agak emosi bila topik macam ni dibincangkan... terus jadi tulisan yang amat formal... dan marilah kita sama-sama berdoa agar institusi kekeluargaan yang kita bina sentiasa Allah kukuhkan sehingga ke pintu syurga... amin


p/s hari ni masih ada lagi orang yang terlajak raya... hehehe... dah 1 Zulkaedah la oiii... 


Cerita menarik lain

0 Luahan Ikhlas: