KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan bertindak menurunkan bendera parti politik yang dipasang di tempat yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, berdasarkan pemantauan, kini terdapat banyak bendera parti yang dipasang di lampu isyarat, persimpangan jalan, papan tanda arah yang didapati mengganggu pengguna jalan raya.

"Setakat ini, kita juga bertindak menurunkan banyak bendera parti. Jumlah yang diturunkan itu belum dapat dipastikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berharap parti politik memberi kerjasama ketika memasang poster atau bendera parti menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kita tidak mahu perang poster ini boleh menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya," katanya.

MPK juga katanya belum mengeluarkan permit pemasangan bendera dan poster kepada parti politik buat masa ini. - Bernama