Perancangan Hidup
Assalamualaikum semua, korang sihat ke? Kesian blog ni terabai bila tuan dia sangat sibuk dengan perancangan hidup sebulan dua ni. Aku cuma sempat letak gambar dah coretan sikit je di Facebook dan instagram.
Blog Tempat Mencurah Rasa
Tapi tetap rasa tak best kalau tak tuliskan di blog semua benda yang berlaku. Bagi aku blog ni la tempat aku curahkan semua kisah kehidupan kami sekeluarga. Jadi kena tulis juga apa jua yang berlaku buat kenangan. Ada banyak kisah tertunggak ni.. Tapi akan kucoretkan satu persatu nanti. InsyaAllah.
Keputusan Temuduga Kenaikan Pangkat
Yang pertama aku nak cerita ialah benda besar yang jadi dalam hidup dan kerjaya aku, ianya biar jadi kenangan dan ingatan di suatu hari nanti. Keputusan temuduga bulan 7 tahun lepas dah selamat aku dapat hujung bulan lepas. Terima keputusan dengan bermacam rasa. Pertama kali tentulah aku rasa gembira bila berada dalam senarai nama sebagai salah seorang yang berjaya selepas menempuh sesi temuduga yang agak mencabar aritu.
Tapi hati mula berbelah bahagi pulak bila memikirkan bakal tempat bertugas yang baru. Kalau ikutkan jika aku terima tawaran pemangkuan tu nanti aku akan bertugas di Putrajaya. Untuk orang yang berjiwa kampung macam aku ianya adalah satu keputusan yang agak berat. Tinggal di bandar besar bukanlah satu impian dan angan-angan hidup aku. Tetapi sebagai penjawat awam yang dah berjanji sumpah setia ni terikat juga dengan janji yang telah dibuat.
Jadi aku cuma ada pilihan untuk terima atau tolak saja tawaran. Aku terus memikirkannya selama berhari-hari lamanya. Itu juga antara sebab blog ni bersawang. Waktu tu merupakan waktu yang agak sukar buat aku.
Bagai Menerima Lamaran Peminangan
Pada masa yang sama juga hujung tahun lepas aku ada memohon jawatan lain yang diiklankan oleh kementerian. Dalam masa yang sama keputusan permohonan aku juga dah keluar dan aku telah diterima. Keadaan seolah-olah bagai menerima 2 lamaran peminangan dah gayanya. Kedua tawaran perlu ku pertimbangkan sebaiknya. Aku susun setiap pro dan kontra setiap pilihan.
Keduanya ada pro dan kontra.. tapi aku perlu memilih sebaiknya untuk membuat keputusan. Semuanya perlu dipertimbangkan termasuk hal ahli keluarga, dari keluarga kecil hingga hal keluarga besar yang kami ada. Semuanya masuk dalam pertimbangan aku waktu tu.
Juga kuserahkan keputusan padaNya Yang Satu supaya ditetapkan hati aku pada keputusan yang terbaik buatku ketika itu. Pilihan dariNya selalu adalah yang terbaik. Aku mohon uuntuk dorongkan aku supaya mudah membuat pilihan dan dipermudahkan segala urusan semua yang membantuku dalam membuat pilihan.
Aku Pilih Menolak
Akhirnya aku pilih untuk menolak salah satu tawaran. Kemudian terima satu tawaran yang lain. Ianya bukan sahaja akan beri kesan besar tapi ianya juga akan mengubah kehidupanku.
Cuma aku tak boleh berkongsi perincian dalam blog ni. Cukup untuk aku kata aku tolak tawaran kenaikan pangkat dan aku memilih untuk terus berkhidmat di Kluang tapi dalam bidang yang berbeza pula.
Cabaran Baru Menanti
Setiap pilihan dalam kehidupan ada cabarannya. Tak kurang juga pilihan yang aku buat. Ada cabaran yang berbeza. Semoga setiap yang berlaku dapat memberikan pengalaman dan pengetahuan buat diri yang serba kekurangan ini.
Doaku setiap kali menempuh alam pekerjaan yang baru, semoga Allah lancarkan apa jua tugasanku. Jumpakan aku dengan orang yang baik-baik dan memudahkan urusanku dalam apa jua keadaan.
Buat masa ni aku masih kekal di Kluang, di tempat baru walau bukan untuk proses kenaikan pangkat. Persekitaran baru, pejabat baru, kerja baru dan kawan-kawan kerja yang baru. Doakan aku ya.
Ceritaita
Moga rasa selesa dan gembira di tempat baharu. Selamat menyesuaikan diri.
BalasPadam