salam ramadhan untuk semua - Cerita Ita                                                             salam ramadhan untuk semua Langkau ke kandungan utama

salam ramadhan untuk semua

hari ni dah masuk hari ketiga bulan ramadhan tapi aku rasa masih belum terlambat nak ucapkan salam ramadhan buat semua kan..semoga ramadhan ni lebih bermakna untuk kita semua...amin..

sempena ramadhan ni aku nak sertakan sekali satu cerita yang aku dapat dari email pagi tadi, mungkin ada yang dah pernah baca kat mana tapi aku rasa tak salah kalau nak baca lagi sekali kan...so layan...

Secebis Kasih Sayang..

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua.Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati.Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang…!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg….sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni? Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…..
"Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:
"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentukkupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
''Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya..
"Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya…."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. "

''Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
"Jika tak dapat apa yang kita suka,,belajarlah menyukai apa yg kita dapat…dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Beza Pra Sekolah, Tabika Perpaduan, Tabika Kemas, Tadika ?

assalamualaikum semua, aku ingat dulu pernah terima soalan dari blog ni la.. lama dulu.. pasal perbezaan antara Pra Sekolah, Tabika Perpaduan, Tabika Kemas dan jugak Tadika biasa.. memang lama aku menung bila baca soalan tu.. pasal masa tu aku memang tak tau nak jawab apa.. hahaha.. serius ko.. masa tu aku baru je ada anak sorang dan aku hentam je hantar memana ikut kemampuan kami masa tu.. Apa Beza Pra Sekolah, Tabika Perpaduan, Tabika Kemas, Tadika ? memang tak pernah la terfikir pun nak cari info atau nak tanya sapa-sapa pun masa tu.. bila fikir-fikirkan balik terasa jugak masa alahai teruknya kami sebagai ibubapa.. dan kami terasa jugak semakin teruk bila abg long dah masuk 2 tahun kat salah satu tadika swasta ni.. tapi nampaknya kenal huruf pun tak tau.. pengsan aku bila ingat balik.. aku mula fikir mungkin sebab abg long sendiri jenis budak yang ada masalah dyslexia.. tapi minor la.. nanti la aku cerita pasal dyslexia tu.. lepas tu kami buat keputusan pu...

"Dia r*gol-r*gol saya..."

assalamualaikum semua, alahai payah betul nak menulis sekarang ni...macam-macam halangan ada.... tapi hari ni nak jugak cari kekuatan nak menulis...sebab apa tau? haaa... cuba tengok tajuk tu haa... pengsan tak kalau baca tajuk tu? kalau korang nak pengsan baca tajuk aku lagi la tau... sebab apa tau? yang sebut tu anak aku....diulangi ANAK AKU ....adoiiii la... apa la nak jadi dengan budak-budak sekarang ni ntah...kecut perut ummi kau dengar ni nak oiiii.... nak tau lanjut? ok meh aku cite... ceritanya gini.... semalam waktu balik keja aku ajak la shah singgah Giant beli barang sikit...dalam perjalanan dari dalam kereta tu biasalah kan kami memang akan pimpin anak-anak jalan sampai masuk dalam... dan kebiasanya bagi anak 4 macam kami ni bahagi-bahagi lah siapa nak pimpin siapa... dan biasanya aku akan dukung adik hadi sambil pimpin kakak husna... yang abg ngah dengan abg long terserah pada shah la pulak.. tapi kalau ikut anak-anak semua nak ummi pimpin... ajer rebeh ba...

Aku golongan Ambivert, apa ambivert tu?

Aku golongan Ambivert, apa ambivert tu? assalamualaikum semua, baru - baru ni aku ada buat ujian personaliti.. sebabnya cuma nak tau samaada aku ni termasuk dalam golongan introvert atau extrovert.. mesti ada yang tertanya-tanya kenapa aku nak tau kan? sebenarnya sesaja je nak tau.. ianya lebih kepada penting untuk aku sesuaikan diri dalam apa jua keadaan bila aku dah tau aku ni kategori mana.. dan hasil ujian mendapati aku adalah golongan Ambivert.. Aku golongan Ambivert, apa ambivert tu? Maksud Introvert dan Extrovert apa dia ambivert tu kan? kalau orang yang tak biasa dengan istilah introvert atau extrovert mesti nak tau apa maksudnya kesemua perkataan ni kan? kalau nak tau introvert ni sebenarnya lebih kepada golongan yang suka menyendiri dan tak suka bercampur gaul dengan orang ramai.. mereka selalunya agak tak selesa bila berada dalam kelompok orang ramai atau majlis yang melibatkan orang ramai..mereka jugak orang yang suka berfikir secara mendalam tentang sesuat...